Selasa, 20 September 2016

Posted by Unknown On 8:12 PTG

1.    Kata bantu ialah perkataan yang berperanan untuk menerangkan perbuatan dari segi masa dan ragam.
2.    Kata bantu boleh dibahagikan kepada kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
3.    Kata bantu aspek digunakan untuk menunjukkan perbezaan masa, iaitu pada masa kini, pada masa hadapan, dan pada masa lampau.

Kata Bantu Aspek
Contoh Ayat
akan
Peperiksaan UPSR akan bermula pada bulan September.
belum
Amar belum menghantar buku latihan Bahasa Malaysia.
masih
Kah Qi masih tinggal di Taman Impian Emas.
pernah
Shi Fang pernah menetap di Kuala Lumpur.
sedang
Ibu sedang menyiram pokok bunga.
sudah
Ayah sudah bertolak ke Ipoh pada malam tadi.
telah
Azman telah mendaftarkan diri di Universiti Malaya.

4.    Kata bantu ragam digunakan untuk menunjukkan perasaan yang berkaitan dengan perbuatan.

Kata Bantu Ragam
Contoh Ayat
boleh
Adik sudah boleh membaca dengan lancar.
dapat
Nazrul dapat menyiapkan latihan itu dengan cepat.
harus
Kita harus menghormati ibu dan bapa.
hendak
Kumar dan Aliff hendak ke perpustakaan pada petang nanti.
mahu
Jasmine mahu ke kedai untuk membeli sekilo gula pasir.
mesti
Kita mestilah rajin belajar untuk memperoleh kejayaan.

5.    Sesetengah kata bantu aspek boleh hadir serentak seperti belum pernah, sudah pernah, masih sedang, masih belum, dan sebagainya.
6.    Sesetengah kata bantu ragam juga boleh hadir serentak seperti mesti dapat, mesti mahu, harus boleh, dan sebagainya.
7.    Selain itu, kata bantu aspek dan kata bantu ragam boleh hadir serentak dalam ayat-ayat tertentu.
Contohnya :

Kata Bantu Aspek dan Kata Bantu Ragam
Contoh Ayat
masih boleh
“Pakaian itu masih boleh dipakai,” kata ibu kepada adik.
sedang hendak
Kapal terbang itu sedang hendak mendarat di lapangan terbang.
belum boleh
Buah mangga itu belum boleh dimakan.
belum dapat
Pihak polis belum dapat menangkap pencuri itu.
belum hendak
Kami belum hendak pulang lagi.
akan dapat
Pemenang kuiz akan dapat melancong ke New Zealand.

8.    Begitu juga dengan kata bantu ragam dan kata bantu aspek. Contohnya :

Kata Bantu Ragam dan Kata Bantu Aspek

Contoh Ayat
harus  sudah
Kamu harus sudah menyiapkan kerja itu kerana sudah petang
mesti akan
Sampah itu mesti akan busuk jika tidak dibuang.
mesti boleh
Kami mesti boleh menjuarai perlawanan itu.
mesti sudah
Rancangan televisyen itu mesti sudah tamat.

Latihan :

Kata Bantu Aspek
Contoh Ayat
akan

belum

masih

pernah

sedang

sudah

telah


Kata Bantu Ragam
Contoh Ayat
boleh

dapat

harus

hendak

mahu

mesti


Kata Bantu Aspek dan Kata Bantu Ragam
Contoh Ayat
masih boleh

sedang hendak

belum boleh

belum dapat

belum hendak

akan dapat


Kata Bantu Ragam dan Kata Bantu Aspek
Contoh Ayat
harus  sudah

mesti akan

mesti boleh

mesti sudah